PUTRAJAYA – Pencapaian graduan Politeknik dan Kolej Komuniti amat membanggakan berdasarkan dapatan kajian kebolehpasaran yang melebihi 95 peratus setiap tahun.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Kementeri Pengajian Tinggi (KPT), Mohamad Amin Hamat berkata, ini membuktikan graduan tersebut mendapat tempat dan menjadi pilihan majikan serta industri dan berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti universiti.
Tambah beliau, dari tahun 2018 sehingga hari, Politeknik dan Kolej Komuniti juga telah berjaya menghasilkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan.
Menurutnya, ada di antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga mencecah lima angka dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain.
“Pencapaian pelajar di peringkat negara dan antarabangsa turut membanggakan dengan meraih pingat, kemenangan serta pengiktirafan melalui pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi, sukan dan sebagainya.
“Antara platform yang mengharumkan nama Politeknik dan Kolej Komuniti adalah Pertandingan FIRA RoboWorld Cup, WordSkills Competition, Abilympics (Olympics of Abilities) bagi pelajar OKU, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Pertandingan MySkills, SUKIPT, Universiade, SUKMA, Sukan SEA, dan lain-lain lagi.
“Terdapat juga graduan Politeknik dan Kolej Komuniti yang berjaya membina kerjaya di luar negara dan ini telah kita terapkan melalui program pengantarabangsaan yang mendedahkan pelajar kepada peluang kerjaya global menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa dan program latihan industri luar negara,” katanya kepada MalaysiaGazette di KPT di sini baru-baru ini.
Mohamad Amin menambah, graduan Politeknik dan Kolej Komuniti yang merupakan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) amat bertuah kerana diberi pengetahuan dan kemahiran yang dapat membantu meraka untuk mencari pekerjaan selain bekerja sendiri.
Menurutnya, JPPKK telah bekerjasama dengan pihak industri dengan mengadakan program khusus seperti Work-based learning, Structured Internship Programme bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET itu.
Jelasnya, pada masa sama, jaringan kolaborasi institusi dengan industri termasuk syarikat multinasional telah diperluaskan melalui kerjasama berimpak tinggi seperti program CEO Fakulti, Industi on Campus (IOC), Telent Enhancement Programme dan sebagainya.
“JPPKK juga melaksanakan program reskilling, upskilling & crosskilling seperti yang ditawarkan di bawah program PENJANA KPT CAP bagi membantu memastikan pelajar dapat pekerjaan selepas mengikuti latihan tersebut.
“Selain itu, kami turut menekankan aplikasi kemahiran bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu kemahiran menerusi amali bengkel atau makmal dan membangunkan inovasi projek tahun akhir yang berbentuk solution provider,” katanya.
Mohamad Amin menambah, JPPKK telah menyediakan program pengajian yang responsif dengan keperluan industri menerusi semakan dan penjajaran program pengajian dari semasa ke semasa agar pelajar ready to work.
Menurutnya, ia bagi memberi nilai tambah kepada pelajar menerusi program Finishing School yang melengkapkan Sijil atay Diploma garduan dengan pengiktirafan dan pentaulihan profesional daripada badan dan agensi yang diperakui.
“JPPKK telah Mendedahkan pelajar kepada bidang keusahawanan seawal semester satu melalui Inkubator Keusahawanan di institusi dengan sokongan kementerian dan agensi luar.
“Pada masa sama, kami menggalakkan pelajar menceburi gig-economy dan menjadi pekerja bebas (freelancer) yang berjaya bagi menghadapi norma baharu pasaran kerja pasca Covid-19 ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette