Home Sukan Najmuddin kembali beraksi

Najmuddin kembali beraksi

Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal.

KUALA LUMPUR – Selepas setahun berehat gara-gara kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) kaki kanannya, bekas penyerang muda negara bawah 16 tahun kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal kini telah bersedia untuk kembali beraksi.

Apa yang pasti, kecederaan itu langsung tidak melunturkan semangat pemain berusia 17 tahun itu untuk bangkit meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Muhammad Najmudin Akmal atau mesra dipanggil Din percaya apa yang dilalui selepas pulih daripada kecederaan itu boleh membantunya untuk bangkit dan mematangkan dirinya selepas ini.

“Saya sudah pulih sepenuhnya dan telah beberapa bulan lalu turun berlatih untuk mendapatkan feel semula selain berjaya menguatkan otot kaki bagi melepasi ujian kecergasan.

“Saya yakin dapat kembali beraksi seperti biasa dan saya percaya ia bukan satu masalah buat saya.

“Apatah selepas pulih, saya berjaya mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dan perasaan  takut untuk beraksi semula tidak timbul,” kata pemain kelahiran Selangor.

Najmudin terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ACL pada September tahun lalu ketika beraksi dalam Piala Presiden bersama AMD.

Bekas Pengarah Teknikal AMD, Lim Teong Kim yang kecewa dengan insiden itu menyifatkan Najmuddin antara penyerang remaja berpotensi untuk pergi jauh seperti seorang lagi pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin.

Malah anak ketiga daripada empat beradik dan Luqman merupakan gandingan penyerang pada kejohanan Piala AFC Bawah 16 yang berlangsung dua tahun lalu dan dia turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol.

Namun kemunculan semula Najmuddin itu menarik minat juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menandatangani kontraknya sebagai pemain pelapis baru-baru ini.

Dia bersama lima rakan dari AMD menjadi pilihan JDT dalam usaha membentuk barisan muda pada masa depan.

Mengulas tarikh Sijil Peperiksaan Malaysia yang ditangguhkan pada Februari  tahun depan, Najmudin mengakui ia satu tempoh yang panjang untuk diharungi kelak.

Namun dia yang meminati pemain muda Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe akur dengan arahan kerajaan yang disifatnya turut memberi kelebihan kerana mempunyai waktu yang lama untuk belajar.

“Saya tetap akan memberi fokus kepada SPM kerana pendidikan dan sukan perlu seiring malah saya mahu menyambung pelajaran hingga ke menara gading,” katanya yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional dan beraksi di Liga Perdana Thailand bersama Buriram United. – MalaysiaGazette