KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini mendesak Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi membatalkan serta-merta keputusan penjualan kesemua aset ladang Tabung Haji (TH) Plantation Berhad.
Menurut ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kerajaan perlu menghalang langkah itu kerana aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak.
“Ketika ini harga minyak sawit mentah (CPO) kini di paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan. Harga buah tandan segar sawit (FFB) juga kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan.
“Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019).
“Kita mendesak kerajaan segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP ini, agar kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit TH dapat dijaga dan dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda UMNO juga masih tidak berganjak dengan pendirian kami agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan segera.
“Ia bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam TH yang sering dibangkitkan sejak zaman Pakatan Harapan (PH).
“Adalah amat mengecewakan apabila TH Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda Kerajaan PH lalu untuk menjual 76.2 peratus daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar,” katanya.
Terdahulu, Penolong Setiausaha Pergerakan UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan dan beberapa Exco Pemuda UMNO telah menyerahkan Memorandum Membantah Penjualan Aset-Aset Tabung Haji Plantation (THP) kepada tiga Menteri utama Kerajaan Perikatan Nasional di bangunan Parlimen hari ini.
Antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada 24 Januari lalu, Pemuda UMNO mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk dua anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) mencetuskan banyak keraguan dan persoalan.
“Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran jurunilai professional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan.
“Walaupun kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk membuat penilaian.
“Namun THP didapati telah menulis sebanyak tiga kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco,” katanya lagi. – MalaysiaGazette