Home Nasional 23,480 kes positif Covid-19 kategori sporadik setakat ini

23,480 kes positif Covid-19 kategori sporadik setakat ini

Kakitangan pengurusan Top Glove yang dilengkapi sut perlindungan diri (PPE) menyampaikan bekalan makanan untuk pekerja yang dikuarantin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru, Klang. foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 23,480 kes positif Covid-19 dalam negara diklasifasikan sebagai sporadik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah itu, jelas beliau, bersamaan 35.7 peratus daripada jumlah kes keseluruhan yang telah direkodkan iaitu 65, 697 kes.

Tambahnya, kes-kes sporadik yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini ada kaitan dengan kluster-kluster tentu yang telah dikenalpasti.

“Ini menunjukkan virus tersebut sudah ada di komuniti kita iaitu apabila kes sporadik telah bertambah. Inilah sebab kita sekarang ini adakan SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk elakkan diri kita daripada dijangkiti,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hisham mengakui petugas kesihatan berhadapan dengan kesukaran menjalankan pengesanan kes-kes aktif dan penyiasatan apabila kes positif Covid-19 mencecah tiga hingga empat angka.

Ujarnya, keupayaan petugas kesihatan semakin terbatas berbanding jumlah kes positif pada tahap satu atau dua angka sahaja.

Walaubagaimanapun katanya, petugas KKM sentiasa bersungguh-sungguh dalam memastikan penularan tidak berlaku dengan cepat khususnya apabila jumlah kes mencecah tiga hingga empatĀ  angka.

“Memang betul kalau jumlah kes satu atau dua angka maka keupayaan anggota-anggota petugas kesihatan dapat membendung jangkitan lebih cepat dan lebih tepat. Kita dapat mengesan kes-kes aktif, penyiasatan dapat dijalankan dengan cepat dan kita dapat membendung penularan dengan cepat.

“Tetapi apabila kita melihat peningkatan kes kepada tiga angka, atau empat angka maka keupayaan petugas-petuhgas kita di lapangan untuk menjalankan siasatan dengan segera dan tindakan kesihatan awam tidak secekap. Inilah kekangan yang kita hadapi, kita bimbang kalau kes semakin meningkat kita tidak berupaya menjalankan tindakan kesihatan awam dengan cepat dan segera.

“Kelewatan ini boleh menyebabkan jangkitan itu menular dengan lebih cepat,”tambah beliau.

Untuk perkembangan lain, Ketua Pengarah Kesihatan itu turut mengesahkan dalam gelombang ketiga penularan Covid-19 pada waktu ini, KKM tidak menerima laporan jangkitan yang berpunca daripada pengangkutan awam.

“Tetapi gelombang kedua, saya masih ingat contohnya kluster Melbourne ada jangkitan dalam kapal terbang dan sebagainya.

“Kemungkinan jangkitan itu akan berlaku, apa yang kita kena laksanakan adalah pastikan kita patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP), ketika ketika berada di sesak dan sempit. Jangkitan akan berlaku kalau tempat yang sesak dan sempit kalau kita tidak ambil,” ujarnya.-MalaysiaGazette