Home Nasional Syed disambung reman lima hari lagi

Syed disambung reman lima hari lagi

Syed Amirul diiringi pegawai polis selepas keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah reman selama lima hari bermula hari esok bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Syed Amirul disambung reman lima hari bermula esok hingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan dakwaan kes merogol seorang gadis di Seksyen 7, di sini, September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun yang memakai baju berwarna hijau itu hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 11.10 pagi dan diwakili peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, lelaki tersebut ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas perintah reman sebelum ini berakhir, hari ini.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya menerima enam laporan polis iaitu lima di Shah Alam dan satu lagi di Petaling Jaya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan seksual seperti 376KK (rogol), 354KK (cabul), 377CKK (seks luar tabii) dan 323KK (mencederakan).

“Pihak polis menyeru sekiranya terdapat mangsa-mangsa lain agar jangan berasa bimbang untuk tampil membuat laporan polis,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.