Home Utama Syed sedia beri kerjasama, mahu bersihkan nama – Peguam

Syed sedia beri kerjasama, mahu bersihkan nama – Peguam

Syed Amirul diiringi pegawai polis selepas keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah reman selama lima hari bermula hari esok bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Syed Amirul yang kini disambung reman lima hari lagi sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung siasatan dakwaan kes merogol seorang gadis di Seksyen 7, di sini, September tahun lalu.

Menurut peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan, perkara itu disampaikan sendiri oleh anak guamnya untuk membuktikan dia tidak terlibat dengan sebarang pelakuan jenayah terbabit.

“Dia sedia bekerjasama kepada pihak polis untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah dalam kes ini.

“Dia cuba membersihkan nama dia melalui peruntukan undang-undang yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Terdahulu Syed Amirul disambung reman lima hari bermula esok hingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan dakwaan kes merogol seorang gadis di Seksyen 7, Shah Alam, September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Suspek berusia 25 tahun yang memakai baju berwarna hijau itu hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 11.10 pagi ini.

Dalam perkembagan sama, Ahmad Amzar tidak menolak kemungkinan anak guamnya akan ditahan reman semula di balai polis berlainan selepas reman di Shah Alam berakhir, Ahad ini.

“Ada kemungkinan dia akan disambung reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan sebagainya sebab tiba-tiba banyak laporan polis muncul.

“Itu prosedur biasa dan kita biarkan polis buat kerja dia,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan memberitahu, lelaki tersebut ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas perintah reman sebelum ini berakhir, hari ini.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya menerima enam laporan polis iaitu lima di Shah Alam dan satu lagi di Petaling Jaya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan seksual seperti 376KK (rogol), 354KK (cabul), 377CKK (seks luar tabii) dan 323KK (mencederakan). – MalaysiaGazette