KUALA LUMPUR – Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hairan terhadap kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila mahu supaya ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk presidennya kembali bermuafakat di bawah pangkuan UMNO.
Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) itu berkata, anak muda berusia 35 tahun ke bawah yang menyertai sayap dalam Bersatu bukanlah berasal daripada UMNO.
“Bila Datuk Asyraf Wajdi tanya untuk balik ke UMNO, saya pelik sikitlah sebab keanggotaan ahli Armada kami tak pernah jadi ahli UMNO pun dulu, saya tak pernah masuk UMNO pun…Jadi macam mana kami nak balik kepada UMNO?
“Armada ataupun Bersatu adalah parti pertama pilihan anak muda yang ada dalam Armada ketika ini…Kita akan terus mempertahankan parti dan sayap kami dan membantu Tan Sri Muhyidin Yassin membina negara dalam kerajaan Perikatan Nasional bersama-sama dengan rakan-rakan kita Barisan Nasioal, GPS dan GRS di Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini Asyraf yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen berbayar menyatakan agar Muhyiddin dan semua ahli parti itu kembali bermuafakat dan bersatu di bawah UMNO.
Pandangan itu dilontarkan oleh beliau selepas melihat, dasar, orientasi, pendekatan dan ideologi kedua-dua parti tiada bezanya kerana berasal dari ‘rahim’ yang sama.
Menurut beliau, jika dilihat kembali kepada objektif awal Bersatu ditubuhkan, ia lebih merujuk kepada rasa tidak puas hati dan marah kepada individu dalam kepimpinan UMNO.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini apabila menyatakan misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui Barisan Nasional dengan kerjasama Pas, Wan Ahmad Fayhsal berkata, semua pihak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah saling memerlukan.
Ujarnya, zaman di mana parti tunggal boleh memberi impak tidak berlaku lagi di zaman ini ekoran perubahan demografi politik selepas Pilihan Raya Umum lalu.
“Kerajan PN yang ada pada hari ini tidak akan tertubuh kalau tidak ada sokongan daripada BN dan UMNO. Jadi untuk harapan UMNO dan PN sama-sama tubuh kerajaan memang sudah berlaku pun hari ini. Kita perlu ada kesatuan dalam blok kerajaan, ini saya rasa yang perlu diuruskanlah.
“Kalau kita bergeser kita tidak akan mampu tubuhkan kerajaan…semua orang perlukan semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: