Home Nasional Norihan sudah boleh bernafas sendiri

Norihan sudah boleh bernafas sendiri

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari yang cedera akibat ditembak penyeludup di Pos Sempadan Malaysia-Thailand 24 Nov lepas, sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata anggota yang sedang menerima rawatan wad biasa di Hospital Pulau Pinang (HPP) itu menunjukkan perkembangan yang sangat baik.

“Menurut doktor merawat Norihan, anggota itu sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan malah beliau juga boleh minum dan makan makanan bertekstur lembut, selain itu, Norihan juga sudah boleh berjalan dengan bantuan ‘walker frame’,” katanya di sini hari ini.

Norihan, 39, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis ke HPP Rabu lepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga butir peluru di dalam badannya.

Dalam insiden pada 2.30 pagi itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Baharuddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng.- BERNAMA