WASHINGTON – Jangkitan Covid-19 didakwa muncul di Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan Disember 2019, beberapa minggu sebelum pertama kali dikesan di China dan kira-kira sebulan lebih awal daripada kes pertama yang disahkan secara rasmi di Amerika Syarikat.
Ia merupakan kajian baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC).
Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases, para penyelidik CDC menguji sampel darah dari 7,389 derma darah rutin yang dikumpulkan oleh Palang Merah AS daripada 13 Disember 2019 hingga 17 Januari 2020 untuk antibodi khusus novel coronavirus, yang dikenali sebagai SARS -CoV-2.
Kajian itu bertujuan untuk menentukan sama ada antibodi reaktif SARS-CoV-2 terdapat dalam sera sebelum kes pertama dikenal pasti di AS pada 19 Januari tahun ini.
Para penyelidik menemui bukti jangkitan sebanyak 106 daripada 7,389 darah yang diderma penduduk di sembilan negeri di seluruh AS.
Antibodi ditemui dalam 39 sampel dari California, Oregon dan Washington yang dikutip antara 1 Disember dan 16 Disember dan 67 sampel di Massachusetts, Michigan, Wisconsin atau Iowa dan Connecticut atau Rhode Island yang dikutip antara 30 Disember 2019 dan 17 Januari 2020.
Dapatan kajian mencadangkan jangkitan SARS-CoV-2 mungkin terdapat di AS pada bulan Disember 2019, lebih awal daripada yang diakui sebelumnya, menurut penulis kajian itu.
Kajian itu juga menyoroti nilai pemeriksaan sampel darah yang dikumpulkan secara rutin untuk bukti virus merebak dalam satu populasi, kata para penyelidik, sambil menambah CDC terus melakukan pengawasan berterusan dengan menggunakan derma darah dan sampel makmal klinikal untuk jangkitan SARS-CoV-2 pada beberapa kawasan di seluruh negara.
Dapatan ini telah menambah bukti bahawa Covid-19 berada di luar China lebih awal daripada yang diketahui sebelumnya.
Jangkitan Covid-19 pertama di AS dilaporkan pada 19 Januari 2020 daripada pelancong yang kembali dari China, dua hari selepas ujian domestik dimulakan, menurut CDC.
Dua orang lain yang kemudiannya didiagnosis dengan Covid-19 di AS juga mengalami gejala pada pertengahan Januari.
Beberapa laporan mencadangkan SARS-CoV-2 muncul di AS mungkin lebih awal daripada yang diakui pada awalnya, walaupun penyebaran komuniti yang berleluasa tidak mungkin berlaku sehingga akhir Februari, menurut kajian itu. – MalaysiaGazette