Home Dunia Wanita kurung anak lelaki selama 30 tahun ditahan

Wanita kurung anak lelaki selama 30 tahun ditahan

Pasukan menyiasat melakukan siasatan ke atas sebuah kediaman selepas seorang lelaki ditemui dikurung hampir 30 tahun. - foto Agensi

STOCKHOLM – Seorang wanita berusia 70 tahun telah ditangkap kerana disyaki mengurung anak lelakinya di rumah selama tiga dekad.

Lelaki berusia 40-an itu ditemui di apartmen oleh seorang saudaranya pada hari Ahad dalam keadaan cedera, kata pendakwa Stockholm, Emma Olsson.

Lelaki itu dipercayai ditahan selama hampir 30 tahun.

Media-media Sweden melaporkan, lelaki itu ditemui terbaring beralaskan selimut di atas lantai, tidak bergigi, tidak dapat bercakap dan badannya penuh dengan parut luka.

“Dia sekarang di hospital, yang saya tahu dia memerlukan pembedahan,” kata Olsson, yang tidak memberikan maklumat lanjut mengenai keadaannya.

Akhbar, Expressen dan yang lain melaporkan lelaki itu diberhentikan sekolah pada usia 12 tahun.

Expressen melaporkan, lelaki tersebut ditemui setelah saudaranya mengunjungi wanita berkenaaan apabila mendapat tahu ibu lelaki tersebut telah dimasukkan ke hospital.

Dia mendapati pintu utama tidak berkunci dan memasukinya.

Saudara mangsa memberitahu media, dia mendapati terdapat air kencing, kotoran dan debu di seluruh tempat dan baunya busuk.

Wanita itu mendengar bunyi bising dari dapur dan mendapati lelaki itu duduk beralas selimut dan bantal.

Ucapan lelaki itu juga tidak jelas.

“Dia bercakap dengan cepat dan agak tidak selaras, tetapi dia tidak takut dengan saya,” kata wanita itu.

Olsson mengatakan ibu lelaki itu telah menafikan tuduhan mengurung dan mencederakan anaknya.

Setakat ini, tidak ada penjelasan mengapa lelaki itu dikurung.

“Kami meneliti berapa lama lelaki ini dikurung, tetapi kami menganggap sudah lama,” kata seorang jurucakap polis. – MalaysiaGazette