KUALA LUMPUR – Kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta secara rasmi mengumumkan pemainnya, Ryuji Utomo akan dipinjamkan ke pasukan Pulau Pinang untuk saingan Liga Super Malaysia 2021.
Pengumuman yang dibuat melalui laman sosial Twitter rasmi kelab itu oleh Presiden Persija Jakarta sendiri, Mohamad Prapanca.
Menurut beliau, pasukan Pulau Pinang merupakan salah sebuah kelab yang secara serius cuba mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu.
Malah katanya, tawaran dari juara Liga Premier Malaysia 2020 juga adalah yang paling baik untuk bek tengah itu berbanding pasukan-pasukan lain.
Ryuji akan beraksi selama satu musim bersama Pulau Pinang sehingga bulan Disember 2021 dan pihak pengurusan pasukan yang digelar Macan Kemayoran itu berharap dengan pengesahan ini akan mampu memberikan impak positif kepada karier pemain itu serta pasukan kebangsaan Indonesia.
“Proses perpindahan Ryuji ke Pulau Pinang sudah lengkap. Pasukan tersebut tertarik dengan Ryuji kerana memiliki kualiti yang sangat baik serta memiliki keperibadian yang bagus.
“Kami yakin apabila pulang dari Pulau Pinang, Ryuji akan menjadi lebih matang dan menjadi tembok kukuh Persija,” ujar Mohamad Prapanca. – MalaysiaGazette