KUALA LUMPUR – Kecuaian seorang penyelia kelab yang terlelap ketika memandu didakwa mengundang maut seorang penghantar surat.
Kejadian itu berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur -Seremban bertentang Pengakalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.10 pagi tadi.
Katanya, semasa kejadian, suspek seorang penyelia Kelab Chee Kin Kuan berusia 47 tahun yang tinggal di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan memandu kereta Honda Civic putih menghala ke Plaza Tol Sungai Besi dari pusat bandar.
“Lokasi kemalangan mempunyai empat lorong dan kemalangan berlaku di lorong paling kiri dan mangsa yang menunggang motosikal EX5 difahamkan sedang dalam perjalanan untuk menghantar barang destpach.
“Siasatan mendapati semasa melalui selekoh pemandu kereta Honda Civic yang bergerak di lorong ketiga telah terlelap kerana letih dan melanggar penunggang motosikal yang bergerak di lorong kiri jalan yang sama.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang mosikal Honda EX5 diseret lebih kurang lima kaki dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zulkefly, mangsa disahkan meninggal dunia di dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.
Mangsa dikenali sebagai Zhafari Bukhori, 34, bekerja sebagai penghantar surat dan berasal dari Taman Desa Serdang.
“Polis telah menahan pemandu Honda Civic dan telah dibawa ke balai sebelum dilibatkan dalam ujian EBA menentukan sama ada di bawah pengruh alkohol dalam badan sebelum keputusan menunjukkan negatif 00miligram.
“Dia telah ditangkap dan direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau.-MalaysiaGazette
Memandu sambil TERLELAP pun ada!
Sepatutnya mahkamah memenjarakan pesalah ini seumur HIDUP?