Home Utama Saya sedia jadi saksi saman terhadap Azmin – Mahathir

Saya sedia jadi saksi saman terhadap Azmin – Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Dewan Rakyat . foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia untuk membantu sepuluh pengundi Parlimen Gombak yang menyaman penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr. Mahathir berkata, beliau sudi untuk memberikan pertolongan sekiranya diperlukan.

“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di Mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan. Saya sedia membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin disaman sepuluh pengundinya dengan mendakwa beliau menipu dan mengkhianati kepercayaan diberi sebagai wakil rakyat.

Satu penfailan saman dibuat seramai 10 orang melalui peguam, Yohendra Nadarajan di Mahkamah Tinggi pada minggu lalu terhadap Menteri Kanan Ekonomi itu.

Dr Mahathir yang maklum akan saman terhadap Mohamed Azmin berkata, sebagai wakil rakyat, mereka harus menjaga kepentingan pengundi dan bukannya kepentingan peribadi.

“Wakil rakyat atau Ahli Parlimen harus faham bahawa rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di Parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa.

“Mahkamah merupakan forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan oleh sepuluh Plaintif yang memfailkan tindakan ini. Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Datuk Seri Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara,” katanya.

Dalam saman tersebut, kesemua plaintif berumur antara 36 hingga 64 tahun itu memohon perisytiharan antaranya Mohamed Azmin ialah pemegang amanah dan mempunyai tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Gombak terhadap kawasan parlimennya termasuk 10 plaintif itu.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Mohamed Azmin melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.

Tindakan itu diambil ekoran Azmin telah melanggar sumpahnya di bawah Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual 6 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, plaintif juga menuntut ganti rugi dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – MalaysiaGazette

10 pengundi Gombak saman Azmin Ali

2 Komen

Comments are closed.