Home Nasional Bangunan runtuh ketika kerja baik pulih, 3 pekerja asing cedera

Bangunan runtuh ketika kerja baik pulih, 3 pekerja asing cedera

Dua pekerja asing cedera dalam kejadian bangunan binaan runtuh di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebahagian bangunan yang sedang menjalani kerja-kerja penambahbaikan runtuh hari ini mengakibatkan tiga pekerja pembinaan tercedera.

Kejadian berlaku jam 12.27 tengahari di Wisma W. Shalihudin, Kawasan Perusahaan Ringan, Jalan Perusahaan Kiri, Jalan Genting Klang, Setapak dekat ini.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Imam Bukhari Susami berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan operasi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati berlaku runtuhan bangunan semasa menjalankan kerja-kerja baik pulih.

“Terdapat tiga orang mangsa pekerja lelaki warga asing yang terlibat dalam kejadian yang mana seorang berumur 38 tahun mengalami kecederaan ringan dan keluar daripada lokasi runtuhan dengan sendirinya.

Dua pekerja asing cedera dalam kejadian bangunan runtuh semasa kerja membaik pulih tenghari tadi di Jalan Genting Klang.Foto: Bomba KL

“Hasil tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua orang lagi mangsa lelaki dewasa warganegara asing yang dihempap runtuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Imam, kedua-dua mangsa berumur 28 dan 36 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan patah kaki.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1:41 tenghari tadi setelah pemeriksaan rapi mengesahkan tiada lagi mangsa di lokasi runtuhan itu,” katanya. – MalaysiaGazette