KUALA LUMPUR – Aplikasi MySejahtera yang diperkenalkan kepada rakyat di negara ini bagi merekodkan kehadiran di suatu premis mematuhi piawaian antarabangsa.
Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya jangan bimbang terhadap risiko penyalahgunaan data peribadi.
Ia, katanya, dikawal oleh Agensi Keselamatan Siber Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ianya juga dikawal di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, maknanya setiap data berkaitan peribadi dilindungi akta ini dan ia juga merupakan satu kesalahan jika didapati dikongsi oleh sesiapa sahaja.
“Jadi bagi saya rakyat tidak perlu bimbang kerana ianya di bawah kerajaan dan kita mengawalnya dan memastikan data peribadi itu dilindungi jadi tidak perlu bimbang data itu dikongsi oleh sesiapa,” katanya ketika sidang media mengenai perkembangan semasa PKP hari ini.
Kali terakhir iaitu pada Ogos yang lalu, aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh syarikat tempatan berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) telah mencecah 15.1 juta pengguna.
Aplikasi berkenaan dibangunkan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan yang cepat serta tepat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.
Kemudian pada 19 November yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata aplikasi tersebut berjaya mengesan 9,167 kes positif Covid-19.-MalaysiaGazette