KUALA LUMPUR- Pengalaman selama 24 tahun yang dimiliki oleh Padi Beras Nasional Bhd. (Bernas) mampu membantu kerajaan memastikan kestabilan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia itu untuk jangka panjang.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, bagi memastikan Bernas terus menjalankan tanggung jawab mereka, kerajaan telah memperuntukkan klausa berkaitan indeks pengukur prestasi (KPI) yang mensyaratkan syarikat tersebut mematuhi objektif perjanjian dan tahap perkhidmatan yang telah dipersetujui.
“Kerajaan telah memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi pada setiap masa dan akan terus memastikan pengurusan industri yang lebih efisien dan berdaya saing serta memastikan bekalan beras negara sentiasa terjamin,” katanya semasa menyampaikan ucapan sebelum menyaksikan pemeteraian perjanjian konsesi penswastaan Bernas di antara Kerajaan Malaysia dengan Bernas hari ini.
Bernas juga tambahnya, perlu mematuhi tanggung jawab sosial yang telah ditambah kepada 10 berbanding lima sebelum ini iaitu:
- Memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti yang ditetapkan oleh Kerajaan (Termasuk pembelian stok penimbal beras negara secara one-off sebanyak 140,000 MT);
- Mengekalkan peranan bagi bertindak sebagai pembeli terakhir untuk para petani padi (Buyer of Last Resort);
- Menguruskan Pembayaran Subsidi Kepada Petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) mengikut kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan;
- Menguruskan Skim Pengilang, Pemborong dan Koperasi Petani;
- Memperuntukkan Dana Bagi Pembekalan Jentera dan Mekanisasi Padi;
- Membangunkan Sawah Berskala Besar;
- Menyediakan Dana Bagi Pengurusan Stok Penimbal Benih Padi Negara;
- Memberikan Bantuan Tabung Bencana (Safety Net Petani);
- Menyediakan Dana Bagi Pembangunan Sistem Maklumat Industri Padi dan Beras; dan
- Menguruskan Nutrien Tanah Sawah.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusoff berkata, dengan pemeteraian perjanjian konsesi selama 10 tahun itu, syarikat bertekad untuk meningkatkan fokus terhadap kecekapan operasi, kualiti dan tahap perkhidmatannya.
Menyentuh mengenai tanggung jawab tambahan yang perlu dipikul syarikat tersebut, beliau berkata, ia bukan sahaja menjurus ke arah pemerkasaan sektor pengeluaran padi dan beras tempatan malah penting dalam menjamin pendapatan pesawah serta keselamatan makanan negara.- MalaysiaGazette