KUALA LUMPUR – Dua tahun berlalu selepas anaknya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, ibu kepada anggota bomba tersebut meluahkan rasa kecewanya.
Asma Aziz, 53, ketika diziarahi Ebit Lew pada Jumaat lalu sempat meminta pertolongan daripada pendakwah bebas itu.
“Maknya cuma menangis tak boleh cakap apa-apa. Tiba-tiba ulang kali maknya menangis kata ustaz, boleh tolong kami. Dah dua tahun tapi tiada perkembangan kes arwah Adib. Kami sangat sedih pilu dan kecewa sangat. Macam kes ni diam begitu sahaja. Ustaz, boleh tolong kami,” tulis Ebit di Facebooknya.
Namun Ebit berkata, beliau hanya mampu berkongsikan amalan dan doa untuk kedua-dua ibu dan bapa Allahyarham.
Terdahulu pendakwah bebas itu berkata, beliau menziarah kedua-dua ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib di Kedah pada Jumaat.
Ebit berkata, ibu dan bapa anggota bomba itu tidak menyangka menerima kunjungannya.
“Menangis je rasa sebak rasa hati menziarahi keluarga arwah Adib anggota bomba yang terkorban dua tahun lalu. Sampai sahaja pakcik makcik ini asyik menangis. Mereka redha.
”Katanya tak sangka ustaz datang ke sini semata-mata mahu bagi semangat pada kami. Ayah arwah Adib menangis cakap terima kasih. Setiap masa kami ingat pada arwah,” tambahnya.
Untuk rekod, Adib, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Beliau kemudian meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Inkues kematian Adib yang berlangsung 41 hari memutuskan kematiannya berpunca daripada perbuatan jenayah lebih dua atau tiga individu ketika rusuhan.
Oleh itu, mahkamah menyerahkan kepada polis dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan lanjut serta pendakwaan.
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, kes anggota bomba ini masih diteruskan.-MalaysiaGazette