Home Nasional Kes mati ditetak, punca tak puas hati dalam pengedaran dadah

Kes mati ditetak, punca tak puas hati dalam pengedaran dadah

Anggota Polis DiRaja Malaysia membawa mayat seorang lelaki yang maut ditetak di lot parking Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong. foto AFIQ HAMBALI, 25 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Rupa-rupanya perselisihan dan rasa tak puas hati dalam aktiviti pengedaran dadah menjadi punca seorang lelaki yang bekerja sebagai pemasang khemah mati ditetak dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di Kepong baru-baru ini.

Polis sebelum ini berjaya melakukan tiga tangkapan bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan terbaharu kes yang sama, polis berjaya menahan beberapa lagi individu termasuk suspek utama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan pada 5 Disember lalu, antara 12.45 tengahari hingga 11.15 malam, pihaknya menahan enam orang suspek warga tempatan.

“Salah seorang daripada mereka adalah seorang wanita India dan kesemuanya ditangkap di beberapa lokasi di Lembah Klang semalam.

“Kesemua enam suspek itu berumur di antara 24 hingga 42 tahun.

“Hasil siasatan mendapati tiga daripada tangkapan baru tersebut bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dalam pembunuhan bermotifkan aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 12 Disember ini untuk melengkapkan siasatan bagi tindakan lanjut.

“Dengan itu, pihak polis mengistyiharkan kes pembunuhan tersebut telah berjaya diselesaikan dan kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk timbalan pendakwa raya bagi menuduh mereka di mahkamah,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pekerja pasang khemah mati ditetak

Kes tetak: 2 lagi suspek ditahan, direman lima hari