KUALA LUMPUR – Kehadiran seekor babi hutan yang tersesat di dalam sebuah pusat beli belah di Putrajaya tengahari tadi berjaya ditangani sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari wilayah itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kehadiran haiwan liar itu sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke pusat beli-belah itu untuk memberi bantuan.
Katanya, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati babi hutan itu masih berlegar-legar di dalam sebuah premis menjual pakaian dan peralatan sukan.
“Anggota bomba berjaya menghalau haiwan liar itu keluar dan menuju ke arah padang ragbi berdekatan pusat beli belah berkenaan.
“Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut sumber, haiwan liar itu dipercayai tersesat dan memasuki kompleks beli belah itu.
Setiap hari Ahad, pihak berkuasa tempatan mengadakan operasi menembak babi hutan bagi memantau kehadiran haiwan liar itu di pusat pentadbiran kerajaan selain memastikan keselamatan penduduk.
Terdahulu, beratus pengunjung pusat beli-belah Alamanda Putrajaya gempar dengan kehadiran seekor babi hutan tersesat masuk premis berkenaan tengahari tadi.
Video haiwan liar itu di dalam premis menjual peralatan sukan sempat dirakam pengunjung yang berada di pusat beli-belah kira-kira pukul 12.30 tengahari itu sebelum tular di laman sosial. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Babi ‘masuk’ pusat beli belah, beruang pula ‘menyeberang’ jalan