Home Utama Ku Nan lepas tanpa bebas kes rasuah RM1juta

Ku Nan lepas tanpa bebas kes rasuah RM1juta

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor keluar dari mahkamah selepas mendengar sebutan kes rasuah RM 1 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilepaskan tanpa bebas tuduhan (DNAA) daripada tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan sedemikian pada prosiding terbuka hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahgli Parlimen Putrajaya itu pula kelihatan tenang mendengar keputusan itu dibacakan oleh Mohd Nazlan sekitar 10.15 pagi tadi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Julia Ibrahim telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk DNAA.

Ini berikutan  susulan perkembangan baru dalam kes yang melibatkan salah seorang saksi.

Namun peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Tan Hock Chuan bangkit membantah dan memohon agar anak guamnya dibebas dan dilepas.

Pada 15 November tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank bekas Menteri itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd bagi menambah nisbah plot sebidang tanah.

Ini berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Dalam pada itu, satu lagi kes Tengku Adnan  yang berdepan pertuduhan rasuah RM2 juta akan diketahui 21 Disember ini.

Sepatutnya keputusan kes itu telah diumum pada 17 November ini, bagaimanapun tarikh bagi prosiding tersebut dilapangkan susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 9 November hingga 6 Disember. – MalaysiaGazette