Home Ekonomi Malaysia hanya terima 4.3 juta pelancong 9 bulan pertama tahun ini

Malaysia hanya terima 4.3 juta pelancong 9 bulan pertama tahun ini

Seorang pekerja menyusun troli-troli bagasi yang tidak digunakan penumpang berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Seperti yang dijangkakan, Malaysia merekodkan pertumbuhan negatif bagi prestasi pelancongan negara secara keseluruhan berikutan wabak pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia.

Bagi tempoh Januari hingga September 2020, Malaysia menerima ketibaan seramai 4,299,419 pelancong antarabangsa berbanding dengan 20.1 juta pelancong bagi tempoh sama pada tahun 2019, iaitu penurunan sebanyak 78.6%.

Dari segi perbelanjaan pelancong, Malaysia merekodkan RM12.6 billion iaitu penurunan sebanyak 80.9% berbanding RM66.1 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia berkata, perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 10.7% dari RM3,289.30 pada tahun 2019 ke RM2,938.40 pada tahun ini.

Sebanyak 10 pasaran utama ke Malaysia masih didominasi negara-negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601).

Setiap pasaran mengikut rantau menunjukkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-78.8%), pasaran jarak sederhana (-80.0%) dan pasaran jarak
jauh (-74.0%).

Menurutnya, ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,733,101 pelancong, iaitu penurunan sebanyak 74.9% berbanding 6,905,378 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Malaysia terus mencatatkan penurunan ketibaan pelancong asing bagi suku ketiga ini berikutan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac yang merupakan langkah proaktif kerajaan untuk
membendung wabak pandemik Covid-19 di Malaysia.

Memandangkan impak besar yang dibawa oleh pandemik ini kepada masyarakat global, negara-negara lain tidak terkecuali dari mengalami kesannya dari segi pencapaian pelancongan.

Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing. – MalaysiaGazette