JAKARTA – Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China yang diterbangkan menggunakan pesawat Garuda dari Beijing, malam tadi.
Biro Pers, Media dan Informasi, Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan berkata vaksin yang telah diuji sepenuhnya untuk digunakan itu, tiba di Jakarta pada 9.25 malam tadi.
Presiden Indonesia Joko Widodo dalam YouTube rasmi Sekretariat Presiden berkata Indonesia akan menerima tambahan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin itu pada awal Januari 2021.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech bagi melakukan penyelidikan vaksin COVID-19.
Mengikut data yang disiarkan laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, setakat semalam, republik itu mencatatkan sebanyak 575,796 kes positif COVID-19 dengan jumlah kematian akibat virus itu kini 17,740 orang.