Home Ekonomi S&P, Moody’s tidak ikut semakan penarafan Fitch – RHB Research

S&P, Moody’s tidak ikut semakan penarafan Fitch – RHB Research

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – RHB Research percaya penurunan penarafan oleh Fitch Ratings terhadap penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-’ dijangka tidak akan diikuti oleh Standard & Poor’s (S&P) dan Moody’s dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Firma penyelidikan itu berkata, selepas pandemik Covid-19, pihak berkuasa fiskal Malaysia dijangka akan terlibat dalam strategi pengukuhan fiskal yang menyeluruh.

Dalam nota hari ini, ia melihat trajektori hutang am kerajaan Malaysia sebagai mampan berdasarkan unjuran sederhana RHB Research untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi, kadar faedah dan kadar pertukaran.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun hutang am kerajaan pada 2019 kepada nisbah KDNK sebanyak 65.2 peratus lebih tinggi daripada median sebanyak 59.2 peratus daripada rakan-rakan Malaysia dan dijangka meningkat pada 2020 serta berpotensi pada tahap tertentu pada 2021, trajektori kemampanan hutang kekal kukuh.

Ia menjangka keadaan mudah tunai domestik dan luaran terus mencukupi.

“Kami tidak bersetuju dengan penggunaan ‘aset cair dan liabiliti cair’ oleh Fitch dalam penilaiannya terhadap kedudukan mudah tunai luaran Malaysia berikutan apa yang cair dan apa yang tidak cair dari segi pelbagai aspek perniagaan dan kitaran pasaran adalah bersifat subjektif.

“Metrik lain yang diberi tumpuan oleh Fitch ialah penampan modal bank domestik dan tahap kualiti aset, (yang) ganjil berikutan perubahan yang berlaku dalam dasar sektor perbankan tidak khusus untuk Malaysia tetapi berlaku di negara-negara lain di rantau ini,” katanya.

Ia menyifatkan penggunaan metrik Bank Dunia untuk mengukur tadbir urus dalam proses penggubalan dasar Malaysia dan menggunakannya sebagai input utama dalam model penarafan Fitch sebagai “tidak tepat dari segi analisis.”

“Lebih banyak kepada pendekatan bawah-atas untuk mengukur prospek masa depan tadbir urus dan impak kepada proses penggubalan dasar di Malaysia adalah metodologi yang betul pada pandangan kami,” katanya.

RHB Research turut menjangka pasaran bon ringgit terus disokong berikutan bon yang dinamik adalah baik berdasarkan sokongan berterusan daripada pelabur institusi dalam pesisir dan masih menarik hasil sebenar.

Menurut firma penyelidikan itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) untuk tempoh 10 tahun masih memberikan hasil sebenar yang menarik melebihi 4.0 peratus.

Katanya, sebarang penjualan bon dan ekuiti adalah terhad dan bersifat sementara.

“Bagi ringgit, kami percaya reaksi selepas penurunan penarafan oleh Fitch akan menjadikan mata wang itu susut sedikit kepada 4.1 sebelum stabil pada paras itu,” katanya.

Sementara itu, AmBank Research berkata, ia masih tidak jelas sama ada S&P dan Moody’s akan mengikut jejak langkah Fitch.

Bagaimanapun, katanya penurunan penarafan itu menekankan keperluan untuk terus mengukuhkan pembaharuan, ketelusan dan keterangkuman. – MalaysiaGazette