Home Nasional PKPD Penjara & Kuarters Seremban dilanjut, Kg Sabah Baru ditamatkan

PKPD Penjara & Kuarters Seremban dilanjut, Kg Sabah Baru ditamatkan

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan akan dilanjutkan selama 14 hari lagi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanjutan PKPD itu akan bermula esok iaitu 8 Disember hingga 21 Disember ini.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan bermula 24 November 2020 dan dijadualkan berakhir hari ini.

“Sehingga 4 Disember 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,582 ujian saringan dan sebanyak 964 kes positif Covid-19 telah direkodkan di penjara ini yang melibatkan tahanan dan kakitangan.

“KKM turut mengesahkan terdapat baki 185 sampel saringan melalui ujian saringan kedua yang masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pelaksanaan PKPD di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah yang dikuatkuasakan pada 10 November ini kemudian dilanjutkan lagi dan dijadualkan tamat pada hari ini tidak akan dilanjutkan lagi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,054 ujian saringan dan sebanyak 382 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

“KKM turut mengesahkan kesemua sampel saringan telah pun diperoleh dan tiada sampel yang masih menunggu keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette