KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin disegerakan supaya ketidaktentuan hala tuju politik negara dapat ditamatkan.
Tindakan itu juga akan dapat merancakkan semula ekonomi negara sekaligus mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, khususnya selepas penurunan penarafan kredit oleh Fitch Ratings baru-baru ini.
Gesaan itu terkandung dalam kenyataan bersama tiga pemimpin komponen gabungan berkenaan iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Mereka juga mendakwa situasi semasa turut membuktikan Perdana Menteri gagal mengangkat prinsip ketelusan dan pentadbiran kerajaan yang baik.
“Ini adalah satu tamparan hebat buat kerajaan, khususnya Menteri Kewangan. Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjuta dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac yang lalu.
“Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antara lainnya. Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada.
“Oleh itu, demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan hala tuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, Majlis Presiden Pakatan Harapan berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegerakan dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember,” kata mereka.
Terdahulu Majlis Presiden Pakatan Harapan itu berkata mesyuarat yang diadakan hari ini turut membincangkan isu politik negara terkini khususnya di negeri Perak.
Pakatan Harapan turut berpendirian bahawa Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz gagal memberi keyakinan tentang kestabilan ekonomi negara mengakibatkan penarafan kredit diturunkan.
Kerajaan kecewa semakan semula penarafan Fitch – Tengku Zafrul
“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” tambah mereka.
Baru-baru ini, Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia kepada BBB+ berbanding A- sebelum ini.
Fitch mengatakan, antara sebab yang mendorong penurunan penarafan tersebut adalah penularan pandemik Covid-19 serta situasi politik Malaysia.
Untuk rekod, penurunan tersebut merupakan yang pertama sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98.-MalaysiaGazette
Alang- alang mandi biar basah. Jika kerajaan tumbang. Mohon pm bubar parlimen. Biar rakyat yg buat perhitungan
Alang- alang mandi biar basah. Jika kerajaan tumbang. Mohon pm bubar parlimen. Biar rakyat yg buat perhitungan. 22 bulan sudah cukup memeritkan rakyat.
St – rakyat dah menderita selama 60 tahun bawah naungan umno rasis, takkan 5 tahun tak boleh tunggu? Ko ni dari Jasa ke?