PERTH – Pesawat AirAsia X didakwa bergegar seperti ‘mesin basuh’ selepas mengalami masalah enjin, yang memaksa ia berpatah balik ke Perth.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat D7237 yang membawa 359 penumpang sudah satu jam setengah dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur.
Para penumpang mendakwa, pesawat yang selamat mendarat itu terpaksa berpatah balik disebabkan ‘alasan teknikal’ selepas satu enjinnya mengalami masalah.
Pesawat Airbus 330 mendarat di Perth kira-kira 10 pagi, dengan perkhidmatan kecemasan sudah bersiap sedia sebagai langkah berjaga-jaga.
Polis udara berkata, perkhidmatan kecemasan laut turut bersiap sedia di bahagian utara Perth jika pesawat terpaksa mendarat di air.
Seorang penumpang, Sophie Nicolas menggambarkan keadaan sangat menakutkan.
“Saya hanya dimaklumkan oleh kru kabin bahawa keadaan benar-benar buruk.
“Kru kabin memberitahu, saya berharap semua berdoa dan berharap kita semua dapat pulang dengan selamat.
“Dia mendarat dengan selamat dalam keadaan yang menakjubkan, semua orang memberi beliau tepukan ketika kami mendarat,” katanya yang mendengar letupan kuat pada pesawat.
Seorang penumpang, Brenton Atkinson, 24 berkata, pesawat berkenaan bergegar, lebih daripada pergolakan udara yang biasa.
“Kami seperti duduk di atas mesin basuh. Kami dapat melihat dari tingkap enjin keluar.
“Sebaik sahaja kami mendarat, kita menyedari bahawa salah satu daripada bilah enjin telah terkeluar daripada turbin,” katanya yang memuji anak-anak kapal kerana tidak gementar dan mengendalikan situasi dengan baik.
Seorang penumpang, Tzeyau Chung yang mahu pulang ke Kuala Lumpur mendakwa terdengar letupan dari enjin sebelah kiri.
“Selepas letupan berlaku, pesawat mula bergegar dan melantun. Tetapi juruterbang berjaya mengemudi pesawat dengan baik.
“Sudah tentu penumpang bimbang tetapi kami selamat mendarat…itu lebih penting,” ujarnya. – MalaysiaGazette