Home Politik UMNO tetap mahu kerajaan Perak diterajui Perikatan Nasional

UMNO tetap mahu kerajaan Perak diterajui Perikatan Nasional

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak yang baharu perlu terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keputusan itu dipersetujui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat khas malam ini telah membincangkan tentang senario politik negeri Perak.

“Mesyuarat memutuskan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang melibatkan ADUN UMNO, PAS dan Bersatu perlu dipertahankan,” katanya dalam kenyataan.

Ia senada dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu yang mahu kerajaan negeri yang dibentuk oleh PN harus dipertahankan.

Zahid berkata UMNO seboleh mungkin mahu kerajaan yang dibentuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di bawah pimpinan menteri besar terdahulu dikekalkan.

Difahamkan 31 ADUN telah menandatangani akuan bersumpah (SD) memilih Saarani sebagai Menteri Besar baru. – MalaysiaGazette