KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia percaya anggota kumpulan militan Daesh Dr Mahmud Ahmad yang didakwa terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina telah meninggalkan daerah itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bekas pensyarah Universiti Malaya itu dipercayai melarikan diri bersama Isnilon Hapilon iaitu Ketua Kumpulan Abu Sayaf di Basilan.
Pihak berkuasa Filipina memaklumkan bahawa Hapilon telah berjaya meloloskan diri keluar dari Marawi dan besar kemungkinan Dr Mahmud ada bersamanya.
“Kami tidak dapat mengesahkannya namun kami menerima maklumat daripada pihak yang berkenaan di Filipina mengatakan Dr Mahmud masih hidup,” katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.
Jumaat lepas, Khalid menafikan berita bahawa Mahmud terbunuh dalam pertempuran di Marawi dan percaya beliau masih lagi berada di Marawi City bersama-sama dengan rakan seperjuangan bagi mempertahankan Marawi City.
Mahmud antara orang penting dalam melancarkan serangan di Marawi sekarang.
— BERNAMA