KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana untuk mengusulkan kepada Perdana Menteri selaku ketua majlis supaya jumlah hari persidangan Dewan Negara ditambah dua hari sehingga 29 Disember ini.
Dalam satu kenyataan Parlimen Malaysia hari ini memaklumkan, Mesyuarat Penyelarasan dan Persiapan Mesyuarat Ke-3, Penggal Ke-3 yang dipengerusikan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bertujuan membolehkan lebih ramai ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perbekalan 2021 serta urusan kerajaan lain.
“Bagi memanfaatkan sepenuhnya masa yang terhad, mesyuarat juga bersetuju meniadakan waktu rehat biasa semasa sesi perbahasan Dewan Negara, sama sebagaimana diamalkan Dewan Rakyat dengan waktu persidangan dari jam 10 pagi hingga 2 petang,” demikian menurut kenyataan itu.
Ketika ini, tarikh persidangan adalah dari 16 hingga 23 Disember.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan; ahli Dewan Negara; Majlis Senator; wakil Kementerian Kesihatan; wakil Majlis Keselamatan Negara serta wakil Bomba.
Bagi memastikan kelancaran persidangan Dewan Negara, Presiden Dewan Negara mengingatkan semua ahli agar perbahasan mestilah padat, berkualiti serta harus mempraktikkan akhlak dan budaya tinggi. – MalaysiaGazette