Dalam kenyataan hari ini, ia turut mengunjurkan bahawa syarikat-syarikat penerbangan akan meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur apabila sekatan perjalanan antarabangsa dijangka ditamatkan pada tahun depan.
“Unjuran ini bagaimanapun banyak bergantung kepada prestasi industri yang ditentukan oleh pelbagai faktor termasuk perkembangan pandemik COVID-19, langkah kesihatan awam serta sikap pengguna,” katanya.
Menurut MAVCOM, trafik penumpang itu turut susut ke paras terendah dalam sejarah penerbangan Malaysia dengan mencatat hanya 802,525 penumpang pada suku kedua 2020 (S2 2020) iaitu turun 97.0 peratus tahun ke tahun daripada 26.7 juta penumpang pada S2 2019.
“Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh faktor muatan lebih rendah dan pemulihan kapasiti tempat duduk yang lebih lama oleh syarikat-syarikat penerbangan apabila ia terus mengurangkan kapasiti terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, MAVCOM mendapati trafik penumpang pulih sedikit pada suku ketiga 2020 yang memaparkan penyusutan kecil sebanyak 83.3 peratus berikutan kelonggaran sekatan perjalanan.
Kesalinghubungan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pula di kedudukan keenam di ASEAN berbanding ketiga pada tahun lepas akibat pengurangan tempat duduk antarabangsa sebanyak 95.8 peratus tahun ke tahun dari ibu negara yang merupakan antara penurunan terbesar dalam kalangan pintu masuk utama di ASEAN akibat pandemik itu.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata berdasarkan ketidaktentuan semasa, beberapa perkembangan yang berpotensi membabitkan lima syarikat penerbangan tempatan di masa depan telah dikenal pasti manakala kesan terhadap kesalinghubungan udara juga telah dianalisis.