KUALA LUMPUR – Ada yang bersemangat, sebak malahan tanpa segan silu menangis. Itulah senario ketika program Doa Untukmu Rohingya pada malam Ahad lalu.
Paling mencuri perhatian, pelakon Izzue Islam yang mengalirkan air mata ketika membacakan puisi di Laman Santai, Istana Budaya di sini.
Runtunan dan rintihan jiwa Izzue itu berjaya membangkit rasa simpati buat penonton yang hadir dalam meluahkan rasa terhadap penindasan etnik Rohingya di Myanmar.
Program yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya dalam rintik hujan itu meruntum jiwa penonton apabila Izzue berjaya membangkitkan rasa simpati.
Biar pun hujan, program anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu berjaya menarik kira-kira 10,000 penonton menerusi acara yang berlangsung selama 10 jam tanpa henti itu.
Cuaca tidak menentu tidak menghalang penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur untuk terus menyatakan sokongan mereka sehingga ke penghujung acara.
Apatah lagi dengan komitmen dan kesungguhan para artis serta selebriti yang terlibat telah menjadikan acara itu sebagai satu permulaan yang baik untuk mereka bersatu dalam menyalurkan rasa prihatin terhadap isu yang berlaku.
Lebih 1,000 pejuang seni tanah air berjaya dihimpunkan termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bagi menyatakan rasa prihatin terhadap nasib yang sedang melanda umat Islam bangsa Rohingya.
WHAM tampil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri hiburan dan sebagainya menganjurkan acara persembahan puisi dan nyanyian lagu kemanusiaan menerusi Doa Untukmu Rohingya.
Acara ini telah menyaksikan 100 puisi terpilih karya orang ramai yang dideklamasikan oleh para artis, selebriti dan tokoh yang mengambil bahagian dalam acara istimewa ini.
Antara selebriti yang memeriahkan acara ini di segmen pertama yang berlangsung pada sebelah petang dari jam 2 hingga 7 petang ialah Ameerul Affendi, Ain (Kumpulan Awok), DJ Lin, Abby Fana, Dina, Najwa Latiff, Ayai Ilusi, Waris, Salam Buskers dan lain-lain.
Sementara untuk segmen kedua di sebelah malam, acara ini dihangatkan lagi dengan penyertaan Kumpulan Raihan, Rabbani, Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Nabil Ahmad, Janna Nick, Ellie Suriaty, Nora Ariffin, Azharina, Sarah Raisudin, Zarul Umbrella, Izreen Azminda, Johan Asari dan ramai lagi.
Malah tidak lengkap juga acara pembacaan puisi ini tanpa kehadiran pendeklamator tersohor seperti Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Rahman Saari dan Leftenan Dr Radzi Ahmad.
Turut membuat penampilan istimewa adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pegarah Istana Budaya, Datuk Muhamed Juhari Shaarani di mana masing-masing berkesempatan menyampaikan sebuah puisi.
Apa yang menariknya, WHAM juga merancang untuk membukukan 100 karya yang terpilih di acara ini untuk menjadi arkib seni yang bernilai dan terus tersimpan ke masa hadapan.
Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa yang bergulir dalam diri para seniman tanah air yang turut terkesan setelah melihat apa yang berlaku di Myanmar.
“WHAM mahu menggabungkan suara-suara hati itu untuk diluahkan dengan satu suara iaitu Doa Buatmu Rohingya di mana kami telah berusaha menghimpunkan 1,000 orang seniman untuk turut serta dalam acara ini.
“Kami mahu menggerakkan kempen ini sekali gus menyokong ke arah resolusi kepada kemelut kemanusiaan yang dialami masyarakat Rohingya yang dinafikan kewujudannya di Myanmar,” ujarnya.
Selain acara pentas, WHAM juga memberi peluang kepada sekumpulan pelukis tanah air untuk sama-sama terlibat dengan mengadakan pameran lukisan amal Doa Untukmu Rohingya di mana sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan untuk tabung amal tersebut.-MalaysiaGazette