SUBANG JAYA – Polis Selangor bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan melakukan pemeriksaan ke atas semua pengendali perkhidmatan rel di negeri tersebut bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) (Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, operasi secara bersepadu itu dijalankan secara rawak bermula hari ini sehingga penghujung Disember di stesen-stesen berbeza.
Menurut beliau, seramai lima anggota polis dengan seorang pegawai akan bergerak bersama-sama lima lagi kakitangan APAD ketika menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP di stesen-stesen Transit Aliran Massa (MRT), Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter dan monorel.
“Dalam operasi ini Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor akan beri komitmen penuh membantu APAD memantau pengendali stesen supaya mereka mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Pegawai bersama anggota akan bergerak dalam satu kumpulan dan melakukan rondaan secara rawak sama ada di stesen LRT, MRT, KTMB dan sebagainya. Jadi tugas kami disini lebih kepada membantu pihak APAD,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Operasi Pemeriksaan Bersepadu PDRM dan APAD di stesen LRT Subang Jaya hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Rel APAD, Khairil Khalid.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, walaupun perjalanan rentas negeri sudah dibenarkan namun orang ramai masih lagi terikat dengan SOP PKPB.
Tambah beliau, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman ke atas mereka yang gagal mematuhi SOP yang dikuatkuasa.
“Mengambil dan merekod suhu pekerja dan penumpang selain menyediakan cecair pembasmi kuman adalah penting supaya pengendali stesen dapat mengenal pasti jika ada pengguna perkhidmatan yang tidak sihat atau mengalami lain-lain masalah,” ujarnya. – Malaysia Gazette