Home Utama Sultan Selangor berkenan anugerah pingat kepada petugas barisan hadapan

Sultan Selangor berkenan anugerah pingat kepada petugas barisan hadapan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat kepada petugas barisan hadapan yang berjuang menangani penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian dalam kenyataan media hari ini sempena Ulang Tahun Hari Keputraan Yang Ke-75 baginda esok.

“Di kesempatan ini Beta ingin mengucapkan penghargaan Beta kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan yang telah melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat lelah bagi merawat mereka yang dijangkiti dengan wabak Covid-19 serta mencegah penularan wabak ini.

“Segala pengorbanan mereka amat Beta hargai dan Beta mendoakan agar Allah sentiasa memelihara kesihatan para petugas barisan hadapan agar tugas dan usaha mereka dapat diteruskan,” titah baginda.

Titah ucapan baginda dimuat naik di media sosial Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor bertitah, pihaknya telah mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebaran istiadat semasa hari Keputeraan baginda tahun ini.

Namun titahnya, Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintan Kebesaran negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa wabak Covid-19.

Dalam masa yang sama, Sultan Selangor menyeru kepada pemimpin politik untuk turun padang bersama rakyat bagi mengenalpasti masalah rakyat dan berusaha keras membantu mereka yang terjejas akibat pandemik yang sama.

“Beta mengharapkan rakyat Beta dapat terus bersabar dan tenang di dalam menghadapi segala dugaan ini dan sentiasa berdoa ke hadrat Allah agar musibah yang menimpa kita semua segera diangkat dan dikembalikan semula kehidupan kita seperti sediakala,” titahnya.- MalaysiaGazette