KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya sebanyak 40 hingga 50 peratus berbanding angka harian sebanyak sejuta kenderaan.
Pertambahan itu menjelang cuti hujung minggu yang akan datang, bermula dengan cuti sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada Jumaat ini, perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2021.
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, bagi memastikan keselamatan semua pihak, syarikat ini memohon kerjasama pelanggan untuk mematuhi standard operasi prosedur keselamatan dengan memakai pelitup muka, mendaftar melalui Aplikasi MySejahtera bagi memudahkan proses pengesanan kontak, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu-meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan di R&R.
”Kami mengalu-alukan pelanggan lebuh raya supaya dapat singgah di mana-mana R&R yang disediakan di sepanjang lebuh raya. ‘Dalam masa yang sama, 600 rakan-rakan niaga kami di R&R bersedia menyediakan pelbagai juadah istimewa yang boleh dinikmati ketika berhenti rehat di R&R.
”Sementara itu, bagi meraikan 12 Disember dan perayaan Hari Krismas, kami turut menawarkan promosi istimewa di beberapa R&R terpilih sepanjang bulan Disember sehingga awal Januari 2021. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran istimewa ini dengan melayari laman Facebook dan Instagram PLUS Malaysia,” katanya Christine.
Pelanggan juga boleh membuat pra-pesanan makanan menerusi Aplikasi PLUS daripada gerai terpilih yang lebih mudah untuk dibawa pulang.
Terdapat pilihan bagi pelanggan yang menuju ke utara untuk berhenti rehat di 12 lokasi R&R dan 21 hentian sebelah, antaranya Restoran Jejantas Sungai Buloh, R&R Rawang, Tapah, Sungai Perak, Gunung Semanggol dan Gurun atau Hentian Sebelah Simpang Pulai dan Bukit Gantang.
Manakala bagi pelanggan yang menuju ke Selatan terdapat 12 lokasi R&R dan 24 hentian pilihan untuk berhenti rehat antaranya R&R Dengkil, Seremban, Air Keroh, Restoran Jejantas Ayer Keroh, Pagoh, Machap dan Gelang Patah serta Hentian Sebelah Serdang atau Nilai.- MalaysiaGazette