Home Nasional MARDI lancar 4 teknologi kit kesan pencemaran bakteria

MARDI lancar 4 teknologi kit kesan pencemaran bakteria

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat inovasi terbaru bioteknologi yang dicipta berasaskan teknologi biosenser dan ‘lateral flow’.

Empat inovasi itu dikenali sebagai antibiotic sensor kit, algae bloom biotoxin sensor kit, malachite green sensor kit dan foodborne pathogen test kit itu dilancarkan sempena persidangan National Confrence on Precision Biotechnology in Argiculture atau NCPBA 2020.

Ini juga merupakan kit pengesanan pantas berasaskan teknologi biosenser bagi mengesan sisa antibiotik dalam produk ternakan, bahan kimia dalam industri akuakultur dan mikroalga berbahaya dalam industri perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dengan adanya teknologi pengesanan pantas pencemaran bakteria ini, pemantauan dan penilaian aktiviti kawalan keselamatan makanan bagi mencegah, mengesan dan menguruskan risiko penyakit bawaan makanan dapat dipermudahkan.

“Ini juga membuktikan MARDI sentiasa ke hadapan dalam menghasilkan inovasi terkini melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, selari dengan tagline ‘Dari makmal ke meja hidangan’.

“Produk MARDI yang dihasilkan juga digunakan pakai oleh semua golongan sasar secara meluas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Raffali Mohd Noor.

Inovasi ini dilancar sempena NCPBA 2020 kerana ia adalah satu platform untuk institusi penyelidikan, universiti, pembuat dasar dan pihak berkepentingan dalam pembangunan industri bioteknologi.

Kata Ronald lagi, dengan penghasilan penggunaan teknologi dan inovasi MARDIsense ini secara menyeluruh, keselamatan makanan yang kini menjadi isu utama di negara ASEAN adalah terjamin.

“Secara tidak langsung, tiga daripada 17 Agenda Pembangunan Mampan (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dapat dicapai.

“Ini termasuklah Sifar Kebuluran, Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik serta Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawabyang dapat memelihara kesejahteraan pengguna serta kelestarian sumber makanan,” ujarnya.

Pakej kit biosenser yang dibangunkan ini juga dilengkapi dengan skrip sensor, larutan reagen pengesanan serta peranti biosenser mudah alih berasaskan Android dengan rangkaian 4G juga GPS dan ‘built in MobileMe app’ bagi kesan bahan tercemar di lapangan.

Bagi kit diagnostik berasaskan teknologi lateral flow pula, ianya dihasilkan bagi pengesanan pantas mikrob pencemar makanan seperti Escherichia coli atau E coli, Samonella spp dan listeria monocytogenes dengan tindak balas antibodi.

Ia juga mampu mengesan 100 kali lebih pantas berbanding kaedah kultur konvensional yang mengambil masa tiga hingga 6 hari serta mudah digunakan. – MalaysiaGazette