PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjalin usaha sama bagi membentuk pasukan yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN.
Skuad Bawah 20 tahun ini akan bersaing dalam Liga Premier 2021 sebagai antara usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.
Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.
Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.
Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah dilantik melatih pasukan yang menjadi pasukan ke-11 beraksi dalam Liga Premier sebagai antara langkah mendedahkan mereka kepada saingan kompetitif sepanjang musim.
Keputusan ini dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan sumbang saran di antara pihak FAM dan MSN sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan kelompok terpilih lepasan NFDP dan AMD tidak terlepas aksi kompetitif pada usia 18 hingga 20 tahun.
Majlis pengumuman skuad itu diadakan di Arena Futsal FAM di sini hari ini disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Sebagai tanda kerjasama ini, Reezal melancarkan logo pasukan yang menggabungkan ciri-ciri logo AMD dan NFDP dengan panji-panji negara.
Reeza berkata, ‘Player’s Pathway’ atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem
pembangunan bola sepak negara dan pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan.
Namun kata beliau, bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini.
“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada
pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja
kebangsaan,” katanya.
Bagi FAM, jalinan kerjasama bersama MSN ini menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.
“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” kata Hamidin.
Sementara itu, generasi terbaik lepasan NFDP yang berjaya menempatkan diri dalam Liga
Super dan Liga Premier boleh diserapkan ke dalam skuad projek ini secara
pinjaman, tertakluk kepada prestasi mereka dan persetujuan di antara majikan
mereka dan pengurusan skuad projek ini.
Penyertaan skuad projek FAM-MSN ke dalam Liga Premier diluluskan dalam
mesyuarat Lembaga Pengurusan Malaysian Football League (MFL), penganjur liga, baru-baru ini.
Sekalip un skuad ini bukan pasukan kebangsaan sebenar, kelompok pemain usia ini yang cemerlang akan dijadikan sebagai teras skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021, pusingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023 dan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2024 serta saingan peringkat AFF. – MalaysiaGazette