Home Nasional Usaha kebajikan rakyat ‘tenggelam’ oleh mainan politik – ABIM

Usaha kebajikan rakyat ‘tenggelam’ oleh mainan politik – ABIM

Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung kasih Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengingatkan pemimpin beriman tidak perlu beri sogokan atau membuat ugutan untuk mendapatkan sokongan.

Dalam titah baginda juga, menurut Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, turut dizahirkan rasa dukacita terhadap situasi politik tidak menentu yang digariskan sebagai sejarah kegagalan pemimpin.

Katanya, ABIM bersama rakyat Malaysia turut berkongsi rasa dukacita itu lantaran kelihatan usaha kebajikan rakyat seolah ditenggelamkan oleh permainan politik tanpa batasan.

Pada masa sama, kata beliau, ABIM berpandangan titah itu jelas menzahirkan usaha reformasi dan penambahbaikan sistem politik sedia ada perlu dilakukan agar permainan politik atas landasan menjaga kepentingan golongan elit dapat dihentikan.

“Seluruh pihak termasuk Ahli Parlimen umumnya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak khususnya harus bersama mengangkat agenda perubahan sistem politik yang lebih baik bagi menghentikan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dari berterusan dilakukan.

“Paling utama, menggubal undang-undang seperti Akta Pelucutan Ahli Parlimen untuk memelihara mandat yang diberikan rakyat semasa pilihanraya daripada dipermainkan oleh pemimpin politik.

“Ini termasuk membataskan kuasa lantikan ahli politik dalam badan-badan tertentu seperti GLC yang tidak munasabah, yang boleh dilihat sebagai sogokan politik demi mendapat sokongan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, dalam titah ucapan pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Sultan Nazrin Shah mengingatkan ahli politik bahawa punca kuasa politik dimilik mereka adalah dari Allah, yang memberikan kekuatan, perlindungan dan benteng ketahanan.

Oleh itu, baginda mengingatkan pemimpin agar tidak sombong dan bongkak selepas berada di atas, kerana sifat sedemikian selalunya merugikan mereka dan tidak mendapat restu Allah dalam kehidupan.

Menurut Muhammad Faisal, ABIM menekankan bahawa perubahan itu harus dilakukan segera agar rakyat tidak lagi putus harapan kepada amalan demokrasi di negara ini, kerana ia merupakan asas utama menjaga kestabilan politik negara.

Beliau menegaskan, seluruh pemimpin politik harus bermuhasabah atas situasi krisis kepercayaan rakyat yang semakin menebal terhadap institusi politik kini. – MalaysiaGazette