Home Utama Pegawai Imigresen didakwa 17 pertuduhan rasuah lepaskan warga asing

Pegawai Imigresen didakwa 17 pertuduhan rasuah lepaskan warga asing

Pegawai Pegawai Imigresen (KP 19), Jabatan Imigresen Malaysia, Mohd. Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 35 diiringi angora polis ketika hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,500 ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah hari ini atas 17 pertuduhan menerima rasuah lebih RM20,000 bagi membantu melepaskan warga asing keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Tertuduh, Mohd Al-Ridhuan Ahmad Zaini mengaku tidak bersalah untuk setiap pertuduhan itu dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Ahmad Zaini yang bergred KP19 itu hadir bersama isterinya yang nampak tenang sepanjang prosiding hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd Al-Ridhuan didakwa menerima wang berjumlah RM23,000 daripada Nur Amanina Maulad Adnan melalui akaun Maybank dan CIMB Bank  kepada akaun Bank Muamalat milik Syarikat Entitit Maju Enterprise milik Nur Natasha Andrew iaitunya isterinya.

Perbuatan itu sebagai upah untuk membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk keluar dari Malaysia melalui pintu keluar udara klia2 tanpa diambil tindakan undang-undang.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Jalan Tasik Utama 7, Medan Niaga Tasik Damai, di sini, antara 25 Julai dan 11 November 2020.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama, yang boleh memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Dalam pada itu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberikan tawaran jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin bagi dakwaan tersebut.

Kata Wan Shahruddin, kesalahan yang didakwa dilakukan tertuduh walaupun belum terbukti adalah satu dakwaan serius dan dianggap mengkhianati negara.

“Ini adalah satu kesalahan yang sungguh serius, seperti pengkhianat mengkhianati negaranya. Kita tawarkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin selain hadir ke Ibu Pejabat SPRM,” hujahnya.

Bagaimanapun Hakim Rozina mencelah dan membuat pembetulan dengan mengatakan kesalahan itu belum lagi terbukti lagi.

Kemudian Wan Shaharuddin menyambung seandainya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan antaranya melaporkan diri setiap bulan di SPRM.

Juga syarat tidak sesekali mengganggu saksi yang akan terbabit dalam kes serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ketika peguambela, Harchanjit Singh pula membuat rayuan memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan alasan mempunyai tiga anak kecil dan isterinya mempunyai masalah kesihatan.

“Tertuduh direman selama lapan hari di Mahkamah Shah Alam dan pada hari kesembilan dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk disambung reman namun ditolak.

“Terdapat tujuh perintah menghadiri pemeriksaan di Ibu Pejabat SPRM di mana beliau hadir sendiri dan memberikan kerjasama penuh,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.