NUSA DUA – Bali telah bersedia untuk menerima pelancong antarabangsa sebelum perayaan Krismas ini, demikian menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN WTO).
Menurut Pengarah UN WTO bagi Asia dan Pasifik, Harry Wang, kerajaan Indonesia dan pentadbiran Bali telah membuat persiapan penuh bagi membuka semula pulau peranginan terkenal dunia itu.
“Kami melihat sendiri pelaksanaan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang telah dilakukan oleh kerajaan Indonesia dan kerajaan tempatan sebelum Bali dibuka semula kepada pelancong antarabangsa.
“Saya sangat gembira melihat Indonesia dan Bali. Anda semua telah bersedia untuk menerima pelancong tidak lama lagi atau selewat-lewatnya tahun depan.
“Saya tidak terkejut jika kerajaan mengumumkan pembukaan semula Bali sebelum Krismas,” katanya kepada pemberita di Nusa Dua.
Delegasi UN WTO yang diketuai Harry berada di Bali sepanjang minggu ini untuk menjadi tuan rumah kepada bengkel pembangunan kapasiti dalam memulakan semula pelancongan antarabangsa.
Ia merupakan bengkel pertama seumpamanya di Asia.- MalaysiaGazette