Home Utama CEO HRDF positif Covid-19, Saravanan kena kuarantin

CEO HRDF positif Covid-19, Saravanan kena kuarantin

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sedang menjalani kuarantin di rumah setelah menjadi kontak rapat kepada salah seorang kakitangan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang dieksan positif Covid-19.

Pegawai itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif HRDF, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC memberitahu, beliau telah selesai menjalani ujian calitan Covid-19 semalam dan keputusannya akan keluar pada bila-bila masa hari ini.

“Saya sudah jalani ujian calitan Covid-19 semalam lagi, keputusan hari ini. Kini kuarantin di rumah sementara tunggu keputusan.

“Sebenarnya saya kontak kepada Shahul Hameed,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Sahul yang juga merupakan pengasas My Events International juga mengakui dirinya telah menjalani ujian Covid-19 dan disahkan positif.

Shahul Hameed Dawood.

“Ya betul, saya disahkan positif selepas ujian calitan. Kini dalam perjalanan ke hospital, sedang tunggu ambulans.

“Saya tidak berapa pasti bagaimana terkena, masih sedang cuba kenal pasti. Doakan saya, terima kasih kepada semua,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu menerusi satu kenyataan hari ini, HRDF memaklumkan kakitangannya yang disahkan positif Covid-19 ketika ini akan mendapatkan rawatan dan di bawah pemantauan pegawai perubatan.

Serentak itu, semua kakitangan HRDF menjalani ujian calitan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga serta keadaan kesihatan mereka akan dipantau.

Pada masa sama, ibu pejabat HRDF di sini ditutup selama seminggu mulai hari ini untuk kerja sanitasi dan pembersihan sepenuhnya. – MalaysiaGazette