KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pelaburan dagangan emas yang didalangi seorang wanita warga tempatan, Arma Nazirah Abdul Manaf, setelah mengesan kegiatan itu sejak Jun 2019.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket tersebut menjanjikan pulangan yang tinggi iaitu antara 30 hingga 70 peratus.
“Suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pulangan pelaburan dalam dagangan emas itu dengan tampil sendiri berjumpa dengan mangsa untuk meyakinkan mangsa melabur dengannya.
“Suspek juga mempunyai agen untuk mempromosikan pelaburan ini yang mana mangsa kemudian telah membuat bayaran dengan memasukkan wang ke dalam tiga akaun di Maybank dan CIMB menggunakan tiga nama berlainan iaitu Arma Nazirah Abdul Manaf, Zeti Amira Abdul Rani dan Mazila Misngat.
“Polis telah menerima 15 laporan polis dan tiga kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan melibatkan kerugian berjumlah hampir setengah juta atau lebih tepat RM440,771.72,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mangsa di Kajang mengalami kerugian berjumlah RM86,345, pelabur di Teluk Intan rugi sebanyak RM33,500 dan mangsa di Beufort kehilangan RM5,000.
Menurut Zainuddin, polis masih menyiasat dua kes pelaburan emas itu dan pada 2 Mac lalu Arma Nazirah telah dituduh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan di Mahkamah Sesyen Kajang. – MalaysiaGazette