Home Nasional SKMM digesa sekat akaun sosial media Namawee berkait filem ‘Babi’

SKMM digesa sekat akaun sosial media Namawee berkait filem ‘Babi’

Setiausaha Agong Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah ketika sidang media mengenai isu Filem 'Babi' arahan En. Wee Meng Chee atau Namawee di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat saluran Youtube dan kesemua akaun media sosial milik Namawee berkait filem kontroversi arahannya berjudul ‘Babi’.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah berkata, pihak berkuasa perlu mengambil serius tentang kandungan filem hasil arahan Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee kerana berunsurkan perkauman selain memberi imej buruk terhadap negara.

“Kita gesa pihak SKMM untuk menyekat saluran Youtube atau media sosial Namawee kerana dia ada muat naik ‘trailer’ filem ‘Babi’. Jadi ia perlu dihentikan segera dan pihak berkuasa perlu mengambil serius perkara seperti ini.

“Siasatan telah dimulakan oleh pihak berkuasa dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), jadi kita buat laporan ini supaya semua orang faham peranan Seniman.

“Ini bukan pertama kali, sebelum ini juga persatuan pernah buat laporan polis terhadap Namawee berkenaan filem terbitannya dan sekarang dia tiada di Malaysia, dia berada di luar negara jadi pihak berkuasa diminta segera ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan ke atas Namawee di Balai Polis Taman Melawati hari ini.

Mengulas lanjut, Hafiz mendakwa, pihak syarikat yang menerbitkan filem berkenaan turut melakukan pemalsuan dokumen Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Tambah Hafiz, pada awalnya filem berkenaan bukan lah berjudul ‘Babi’ ketika pihak persatuan menerima borang senarai nama pelakon daripada mereka.

“Filem ini ditayangkan di Taiwan, saya hendak cerita lebih pun tak boleh kerana masih dalam siasatan, dia pun memalsukan dokumen. Pada asalnya ketika hantar dokumen kepada Seniman dan Finas tajuknya bukan ‘Babi’ tapi Sekolah.

“Jadi dalam konteks ini, walaupun ‘working title’ mereka Sekolah tapi selepas habis penggambaran jika hendak menukar tajuk filem perlu hantar semula (dokumen) kepada Finas namun ia tidak berlaku,” ujarnya.

Menurut Hafiz lagi, Seniman tidak pernah menghalang mana-mana pihak menerbitkan filem walau apa sahaja unsur yang akan diketengahkan namun ia perlu mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa, Finas dan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Jelas beliau, tidak ada halangan terhadap mana-mana pihak yang ingin menghasilkan ‘buah tangan’ yang berbentuk kritis tetapi wajar mengambil kira tentang latar belakang masyarakat yang berbilang kaum.

“Kita tidak menyekat mana-mana pihak untuk membuat filem yang kritis tapi kita kena faham di Malaysia kita hidup berbilang kaum, tak semestinya kena berunsurkan perkauman itu kita memang bantah sekeras-kerasnya.

“Ketika buat laporan tadi, kita juga pohon pihak berkuasa untuk menahan dan menyiasat Namawee kerana dia sudah banyak kali buat filem yang boleh pecah belahkan kaum di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, filem tersebut ditayang di negara Taiwan mulai 20 November dan mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada tahun 2000. – MalaysiaGazette