Home Politik Wanita PN setuju idea gagasan besar – Rina

Wanita PN setuju idea gagasan besar – Rina

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun ketika hadir pada Program Rakan Muda 'Give Back' Sempena Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Selangor di Kampung Salak Tinggi, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2020.

SEPANG – Wanita Perikatan Nasional (PN) menerima baik cadangan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mahu PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar bersama dalam yang lebih gagasan lebih besar.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dengan adanya gagasan itu ia akan memperkuatkan ketiga-tiga gabungan parti pemerintah itu.

“Saya menyokong penuh kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Sudah pasti dalam kita nak menguatkan gabungan yang kita ada ini, maka kita perlu gabungkan supaya ia menjadi satu pasukan yang lebih kuat dan lebih kukuh lagi dan dapat dimantapkan lagi,” katanya dalam sidang media sempena program Rakan Muda ‘Give Back’ di Kampung Salak Tinggi hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, gagasan itu akan dapat menggabungkan sumber sedia ada untuk digunakan semua parti.

“Akhirnya kita dapat menggembleng tenaga dan sumber yang ada untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” jelas Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi.

Semalam, Hamzah mencadangkan agar PN, BN dan GPS membentuk gagasan besar yang akan berfungsi untuk memberikan keyakinan kepada rakyat negara ini yang mahu melihat kestabilan politik.

Malah katanya ia bagi cerminan keupayaan gagasan itu untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

Hamzah turut berkata, gagasan itu sebagai cerminan agar rakyat lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh. – MalaysiaGazette