Home Uncategorized Masa untuk Proton-Geely mengoperasikan perkongsian strategik

Masa untuk Proton-Geely mengoperasikan perkongsian strategik

Proton

KUALA LUMPUR – Perjanjian muktamad sudah pun ditandatangani antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Oleh itu sudah tiba masanya untuk Proton dan syarikat utama kereta China ini mula mengoperasikan perkongsian strategik yang saling menguntungkan kedua-dua pihak ini.

Dan, polemik kehilangan kedaulatan, menyerahkan identiti kereta negara serta menjualnya kepada China, mesti dihentikan kerana ia merupakan tuduhan politik yang tidak berasas dan bertujuan untuk meruntuhkan hasrat kerajaan untuk menyelamatkan Proton.

Kini, yang penting ialah sudah ada penyelesaian ekonomi untuk menyelamatkan Proton daripada kemelut kewangan yang muncul akibat model perniagaan yang tidak mampan sejak awal lagi.

Perjanjian ini bukan sahaja akan membuka peluang perniagaan yang baik kepada kedua-dua syarikat, malah turut menyumbang kepada kebangkitan semula industri automotif Malaysia dan kemunculan jenama tulen di rantau ini.

Matlamat untuk Proton, anak syarikat DRB-Hicom jelas, iaitu pulih dari segi kewangan dan merealisasikan kemapanannya menerusi kepakaran teknikal Geely, menembusi pasaran eksport dan mewujudkan kedudukan yang baik di ASEAN.

Ini berbanding daripada Proton untuk kekal 100 peratus miliki rakyat Malaysia, namun terpaksa menanggung ratusan juta ringgit, serta menjejaskan kebajikan beribu-ribu pekerja.

Ia pastinya tidak munasabah.

Tahniah kepada kerajaan kerana mengambil langkah berani dalam menghentikan pelan perniagaan lama yang tidak akan berjaya, serta DRB-Hicom untuk memperoleh rakan yang bersesuaian.

Laluan masa depan untuk Proton kini jelas.

Ia mesti memperoleh semula penguasaannya dalam pasaran domestik daripada hanya 12 peratus pada masa ini.

Kapasiti di Tanjung Malim mesti dimaksimumkan dengan menjadikan Malaysia hab kereta pemanduan kanan untuk Geely di rantau ini.

Dan jika ada kapasiti berlebihan, kilang itu juga akan diberi peluang untuk memasang kereta Volvo.

Geely memiliki sepenuhnya Volvo, pembuat kereta Sweden.

Yang lebih penting, dengan memaksimumkan kapasiti ini ia akan dapat menjana peluang pekerjaan baharu yang akan memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.

Tanpa rakan strategik asing, kos sosial bagi pekerja Proton yang menganggur, terutama di Tanjung Malim, akan mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada ekonomi domestik.

Kilang Proton Tanjung Malim mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan satu juta kereta setiap tahun, namun kini hanya menghsilkan 72,000 kereta tahun lepas dengan syarikat melaporkan kerugian sebanyak RM1 bilion

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan, dan atas sebab itulah kerajaan mendorong DRB-Hicom untuk mencari rakan kongsi yang sesuai sebagai sebahagian daripada kriterianya untuk meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion.

Sudah pasti strategi utama daripada perkongsian itu adalah untuk menyediakan ruang untuk Proton menjadi antara pengeluar utama kereta di Asia Tenggara dan antara eksport utama Malaysia ke rantau ini.

Jumaat lepas, DRB-Hicom menandatangani perjanjian muktamad dengan Zhejiang Geely Holding untuk menjual 49.9 peratus kepentingan Proton kepada konglomerat China itu , yang melibatkan suntikan tunai sebanyak RM170.3 juta.

Ini termasuk RM290 juta untuk model Geely Boyue, yang akan menjadi model pertama SUV Proton hasil daripada perkongsian itu.

Menerusi pakatan itu juga, DRB-Hicom akan melupuskan Lotus, syarikat pembuat kereta sukan, membabitkan sebanyak 51 juta pound kepada Geely, dan baki ekuitinya lagi kepada Etika Automotive Sdn Bhd.

Seperti banyak lagi syarikat usaha sama antarabangsa, perkongsian Proton dengan Geely merupakan ciri biasa dalam industri, dan merupakan keputusan semata-mata atas sebab komersial yang pasti akan menyediakan manfaat terbaik kepada syarikat, vendor dan pekerja mereka.

Sebagai contoh, Proton akan mempunyai akses kepada produk, platform dan teknologi Geely, malah pasaran China.

Mengenai kritikan terhadap perkongsian itu, cukuplah. Sudah tiba masanya bagi Proton untuk bergerak ke hadapan dengan Geely dalam menjamin masa depannya. – MalaysiaGazette