Home Utama Gagasan besar: Pastinya akar umbi UMNO lebih berhati-hati dengan strategi Bersatu

Gagasan besar: Pastinya akar umbi UMNO lebih berhati-hati dengan strategi Bersatu

Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan gagasan besar oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pastinya akan membuka mata dan memberi kesedaran kepada akar umbi dan penyokong UMNO tentang strategi, tindak tanduk, sikap dan pendirian parti itu terhadap UMNO.

Ini kerana, gagasan berkenaan dilihat sebagai satu strategi atau cubaan Bersatu untuk menghakis UMNO di peringkat akar umbi memandangkan reputasi UMNO yang utuh di peringkat Cawangan dan Bahagian.

Lantaran itu, Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, akar umbi UMNO akan kekal berwaspada dan berhati-hati dengan pimpinan Bersatu.

Disebabkan itu juga, katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) awal-awal lagi menolak cadangan gagasan berkenaan.

Dr Awang berkata, GPS lebih mudah bergerak sendiri tanpa ada gagasan kerana bakal menyulitkan politik negeri itu pada masa depan, terutama dalam pengagihan kerusi pada pilihan raya nanti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya gagasan besar itu diwujudkan, sudah pasti barisan kepimpinan akan dibentuk.

“Di sini timbul persoalan, siapakah yang menerajuinya. Sudah pastilah dari Bersatu kerana parti ini mengepalai Kerajaan Persekutuan sekarang.

Pandangan ini selari dengan naratif strategi politik Bersatu bahawa parti dominan tidak baik untuk negara.

Oleh sebab itu, walaupun Bersatu bukan dominan tetapi parti itu masih mahu mengekalkan tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat dan negeri.

”Apabila ini berlaku, sudah pasti kerusi-kerusi penting barisan kepimpinan ‘gagasan besar’ juga milik pimpinan Bersatu, sama juga seperti kerajaan sekarang,” tambahnya.

Dengan ini, ia secara tidak langsung memberi suara dan kuasa besar kepada Bersatu semasa dalam membuat justifikasi pengagihan kerusi pada Pilihan Raya ke-15 nanti.

Lagipun, inilah tujuan penubuhan gagasan tersebut, semata-mata untuk mendukung Bersatu supaya kekal berkuasa.

Katanya, Bersatu amat menyedari bahawa parti itu memiliki jumlah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang kecil, lantaran itu suatu usaha untuk mengukuhkannya perlu dilakukan supaya ia tidak dapat disaingi, ditentang dan mendapat perlindungan daripada parti-parti lain.

Disebabkan itu, jelasnya, gagasan besar itu tidak akan menguntungkan mana-mana parti yang menyertainya terutama justifikasi pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Ke-15 nanti.

“Jika barisan kepimpinan gagasan besar ini dipimpin oleh Bersatu, sudah pasti parti ini mahu bertanding dalam banyak kerusi.

“Maka di sini akan timbul konflik kerana UMNO sudah pasti mahu mempertahankan kerusi tradisi.

“Saya kira, Pilihan Raya Negeri di Sabah memberi banyak pengajaran kepada UMNO dan semua parti terlibat,” katanya – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Betul ..seeloknya selepas pru baru tgok parti mana yg boleh mencukupkan bilangan number untuk mentadbir negara ..dari situ baru lah boleh lihat parti mana yg lebih dominan untuk mengetuai ..bkn seperti sekarang ..

Comments are closed.