Home Nasional Ahli Parlimen jalani HSO perlu pakai PPE untuk hadir Dewan Rakyat –...

Ahli Parlimen jalani HSO perlu pakai PPE untuk hadir Dewan Rakyat – Takiyuddin

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) kerana menjadi kontak rapat individu positif Covid-19 akan hadir ke Parlimen lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan akan ditempatkan di satu ruangan khas di Dewan Rakyat untuk mengikuti proses mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

“Ya, mereka boleh datang, tapi untuk masuk ke dalam dewan mereka kena lengkap berpakaian PPE. Kita juga akan letakkan mereka di satu ruangan khas di dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Presiden Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Takiyuddin turut mendedahkan tiga Ahli Parlimen terbabit adalah Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri M Saravanan, dan P. Prabakaran.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat tahun ini menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Kehadiran Ahli Parlimen ini dianggap kritikal bagi menentukan rang undang-undang berkenaan diluluskan atau sebaliknya dengan bacaan ketiga pula dijangka pada Rabu ini.

Dalam perkembangan lain Takiyuddin ketika berucap sebelum sesi dialog tersebut bermula berkata, perjumpaan dengan Presiden Pas yang diadakan hari ini adalah disebabkan parti itu sudah lama tidak mengadakan pertemuan dengan media.

Katanya, Pas tidak berniat untuk memboikot media sebaliknya, mengakui turut mahukan kerjasama sebagai rakan kepada parti tersebut.

“Tapi, diam itu adalah lebih baik daripada menjawab semua soalan. Senyum adalah satu reaksi lebih baik daripada menjawab semua soalan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Pas.

Takiyuddin menambah, dalam situasi ketidaktentuan politik yang berlaku ketika ini, sesuatu kenyataan yang dikeluarkan akan disatukan dengan hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan membuat kenyataan untuk Pas.

Jelasnya, tiga individu berkenaan adalah Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas manakala, pimpinan yang lain tidak digalakkan untuk membuat apa-apa kenyataan melainkan ia berfokus kepada kenyataan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti. – MalaysiaGazette