Home Nasional Premis loteri di sebalik kedai gajet dan laptop diserbu

Premis loteri di sebalik kedai gajet dan laptop diserbu

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman (tengah) memeriksa dokumen pekerja yang ditahan pada serbuan Operasi Loteri Awam Haram di Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2020.

SUBANG JAYA –  Empat premis yang beroperasi menjual loteri di kawasan Subang Perdana hari ini diserbu oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya.

Ketika serbuan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman yang turut hadir mengesahkan sembilan orang ditangkap yang lima daripadanya adalah penjaga kedai manakala selebihnya adalah pemain.

“Di antara sembilan enam lelaki dan tiga perempuan. Satu lelaki Cina, satu lelaki Melayu, tiga perempuan Indonesia sebagai penjaga kedai, manakala pemain tiga (warga) Bangladesh (lelaki) satu lelaki Myanmar. Kesemua yang ditangkap lingkungan umur 27 hingga 40 tahun,” katanya selepas operasi di Persiaran Kewajipan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman bertanyakan sesuatu kepada pelanggan semasa operasi serbuan pusat judi atas talian di Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 DECEMBER 2020

Turut dirampas 41 kertas loteri dan wang berjumlah RM1,750.

Menurut Khalid kermpat-empat premis itu beroperasi di sebalik kedai gajet dan laptop untuk mengaburi mata.

Ujar Abd Khalid, premis loteri haram tidak akan kekal di satu lokasi dan berpindah lebih kurang setiap dua hingga tiga bulan.

Kesemua sembilan yang ditangkap akan direman empat hari mulai esok dan akan dituduh di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika didapati bersalah kesemua yang ditangkap boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara lima tahun.-MalaysiaGazette