Home Seni Hidup Geran Industri CREST: UTeM terokai penyelidikan teknologi terbaharu SCI

Geran Industri CREST: UTeM terokai penyelidikan teknologi terbaharu SCI

Sampel Stretchable Conductive Ink (SCI) bagi aplikasi litar elektronik sewaktu dalam ujian di makmal UTeM.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai penyelidikan teknologi terbaharu Stretchable Conductive Ink (SCI) untuk memenuhi permintaan tinggi aplikasi industri elektronik bertaraf global.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan itu merupakan salah satu pencapaian berprestij UTeM apabila diberi kepercayaan bagi menjayakan projek industri berimpak bertaraf global.

Jelas beliau, penyelidikan berkenan dibiayai menerusi geran industri bernilai RM 1.2 juta yang dianugerahkan oleh Collaborative Research In Engineering, Science And Technology Center (CREST) kepada UTeM dengan rakan industri,Top Empire Sdn Bhd.

“Kami bersyukur dianugerahkan geran industri dari CREST ini kerana ianya sukar diperolehi oleh mana-mana universiti dalam negara apatah pula menjayakan misi mendapatkan teknologi terbaharu bagi memberikan sinar dalam sektor industri elektronik bertaraf dunia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim memperkatakan sesuatu kepada kumpulan penyelidik UTeM bagi menjayakan projek penyelidikan teknologi terbaharu Stretchable Conductive Ink (SCI) untuk memenuhi permintaan tinggi aplikasi industri elektronik bertaraf global.

“Jika dirungkai perspektif cabaran maka tidak dinafikan ianya merupakan cabaran hebat bagi mendapatkan penemuan terbaru bahan termaju ini yang mana impaknya sekaligus mewarnai sektor elektronik secara bersepadu.

“Lantaran itu SCI telah mendapat permintaan yang semakin meningkat kerana fleksibiliti dan kemampuan pengeluarannya yang tinggi sambil mengekalkan kekonduksian pada tahap tinggi,” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Raha meletakkan harapan dan keyakinan pasukan penyelidik UTeM dapat menzahirkan kepakaran dimiliki bagi mencapai objektif penyelidikan bahan termaju ini untuk kegunaan industri elektronik yang sedang berkembang pesat selari Revolusi Industri 4.0.

Misi penyelidikan berimpak dunia itu diketuai oleh ketua penyelidik Prof. Dr Ghazali Omar bersama Penyelaras Projek, Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah serta ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM.

Terdahulu UTeM telah mengikat kerjasama strategik bersama dengan pihak CREST dan Top Empire sebelum ini menerusi pemetraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada bulan November lalu.

CREST merupakan badan konsortium yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.- MalaysiaGazette