Home Pendapat Kesinambungan nilai murni golongan belia mencorak masa depan negara

Kesinambungan nilai murni golongan belia mencorak masa depan negara

Pelajar-pelajar daripada persatuan Pengakap membawa bendera Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Jalur Gemilang Ecobriks semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke- 62 yang bakal tiba tidak lama lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

GOLONGAN belia merupakan aset dan tunjang utama kepada negara untuk memacu hala tuju dalam merealisasikan matlamat yang direncana pada masa akan datang.  Pelbagai alternatif tambahan telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menyerlahkan potensi golongan belia khususnya agar kualiti yang dimiliki oleh setiap individu dapat dimanfaatkan sebaiknya. Malangnya, disebalik usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan terdapat beberapa kelompongan melibatkan amalan nilai murni masih jauh ketinggalan untuk dipraktikkan dalam diri golongan belia. Penerapan dan pemerkasaan nilai murni terhadap golongan belia perlu diberi perhatian serius agar objektif untuk mempersiapkan dan membentuk Identiti Nasional Belia Malaysia ke arah 2050 dapat dicapai sepenuhnya. 

Usaha untuk memperkasakan nilai murni dalam diri golongan belia perlu dititikberatkan kerana mereka adalah contoh dan teladan yang akan mencorak masa depan negara. Ia bakal memberi manfaat kepada pembentukan negara, bangsa dan agama. Malangnya, akhir-akhir ini realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Tujuan untuk melahirkan golongan belia yang mempunyai mentaliti kelas pertama hanya sekadar “indah khabar dari rupa” apabila aspek melibatkan nilai moral dan nilai murni dipandang sepi oleh sebahagian besar golongan belia di negara ini dan bukan sebagai motif utama untuk diambil perhatian.  

Pada 11 Januari 2005, pihak kerajaan telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia khususnya golongan belia yang berbudi bahasa sebagai entiti asas kepada amalan melibatkan amalan nilai moral dalam kehidupan seharian. Tema Budi Bahasa Budaya Kita masih lagi relevan untuk diketengahkan agar golongan belia sedar tentang peranan mereka sebagai role model bagi tanah air tercinta walaupun hakikatnya negara kita pada hari ini sedang berlumba-lumba menuju era industri Revolusi 4.0. Nilai murni dalam diri individu diibaratkan sebagai amalan yang “tidak lapuk dihujan, tidak lekang di panas”.  

 Fokus utama kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur berasaskan pembangunan material semata-mata tetapi perlu turut melibatkan pembentukan modal insan yang berkualiti melalui pendekatan menyeluruh terhadap amalan nilai murni yang mendasari aspek moraliti dan tingkah laku. Nilai murni bukan hanya melibatkan tingkah laku positif tetapi turut melibatkan peradaban manusia, tatasusila serta hubungan langsung  dengan sang pencipta, manusia dan alam sekitar. Oleh itu, dalam keadaan dan situasi semasa kita dapat merasakan bahawa ungkapan “first class infrastructure, third class mentality” amat tepat menggambarkan situasi semasa yang melibatkan golongan belia hingga mencetuskan kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia.   

Apatah lagi kewujudan media sosial seperti twitter, instagram dan facebook menjadi medium komunikasi terbuka bagi golongan belia membahaskan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan api kemarahan apabila ia melibatkan kelompok masyarakat tertentu. Kelunturan nilai moral dalam diri telah menjadikan golongan belia kurang peka dan tidak endah dengan apa yang telah dikongsikan secara terbuka.  Kebebasan bersuara yang diberikan oleh perlembagaan Malaysia telah disalah guna hingga menyebabkan salah faham yang mengundang kepada perpecahan kaum. Sama ada kita sedar atau tidak kini, kita sedang berhadapan dengan satu senario, yang mana nilai murni melalui sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dulu menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia semakin terhakis malahan identiti dan jati diri masyarakat Malaysia semakin luntur  

Justeru itu, antara perkara asas yang perlu dititikberatkan kembali kini ialah penerapan nilai-nilai murni dalam diri untuk melahirkan golongan belia yang cemerlang bukan dari segi material semata-mata tetapi melibatkan aspek rohani dan jasmani. Sehubungan itu, pihak kerajaan dilihat sentiasa berusaha menjalankan pelbagai inistiatif untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam kalangan belia seawal di bangku sekolah lagi melalui silibus mata pelajaran tertentu seperti pendidikan moral, pendidikan islam dan sivik.  Realitinya adakah golongan belia benar-benar bersedia menyahut cabaran untuk menitikberatkan amalan nilai murni atau sebaliknya? Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan cabaran ini disahut kerana nilai murni diibaratkan sebagai satu landasan lurus yang akan memandu perjalanan hidup bermasyarakat ke arah satu matlamat negara yang ingin dicapai bersama-sama. 

Oleh : Dr Umi Hamidaton Mohd Sofian Lee
Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)