Home Nasional Pegawai imigresen hadapi 4 pertuduhan rasuah

Pegawai imigresen hadapi 4 pertuduhan rasuah

Seorang pegawai Imigresen, Baliyan Mohd. Bhanudin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan tuduhan menyalah guna pengesahan cap dalam Op Selat di Shah Alam. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Seorang pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan menerusi Op Selat pada November lalu mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,120 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Baliyan Mohd. Bhanudin, 32, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan asal dan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama asal dan pilihan itu, pegawai Gred KP19 berkenaan didakwa menerima wang berjumlah RM1,800 daripada individu dikenali R. Kanavenothan melalui akaun Maybank miliknya.

Baliyan yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar di Johor didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 hingga 28 September 2018 di bank Maybank Islamic, Seksyen 20 di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara dua hingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Pertuduhan kedua asal dan pilihan itu, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang berjumlah RM350 daripada individu sama melalui akaun Maybank Islamic miliknya berkaitan dengan kerja pejabatnya.

Baliyan didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Oktober 2018 di bank Maybank Islamic, Seksyen 20 di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara dua tahun hingga 10 tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Pertuduhan ketiga asal dan pilihan itu, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM4,620 daripada individu Nickson Lindang melalui akaun Maybank miliknya.

Baliyan didakwa melakukan kesalahan itu pada antara 11 Mac hingga 31 Mac 2019 di bank Maybank Islamic, Seksyen 20 di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara dua hingga 10 tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Pertuduhan keempat asal dan pilihan itu, Baliyan juga didakwa menerima wang berjumlah RM350 daripada R. Kanavenotahn melalui akaun Maybank miliknya.

Baliyan didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Jun 2019 di Maybank Islamic, Seksyen 20 di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 10 tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Fadhli Ab Wahad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh ikat RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat lain Baliyan perlu mengemukakan pasport untuk simpanan mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi.

Media semalam melaporkan seramai lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan melalui Op Selat bulan lalu akan didakwa di enam negeri berasingan pada hari ini dan Rabu ini.

Kesemua pegawai itu berdepan pertuduhan atas kesalahan menerima sogokan selepas memperakukan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar Malaysia.

Pada 16 November lalu, SPRM menjalankan satu operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara. – MalaysiaGazette